Our Story

Tentang Kami

Idea menyediakan ‘surau bergerak’ telah dikemukakan kepada mesyuarat jawatankuasa Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH) pada penghujung tahun 2014. Asas utama idea ini adalah kerana melihat tiadanya atau sukarnya untuk mendapatkan tempat solat di tempat-tempat awam.

Ini menyebabkan kurangnya komitmen masyarakat menunaikan ibadah yang paling asas sebagai umat Islam. Tempat-tempat awam seperti pasar-pasar malam, majlis-majlis keramaian adalah tempat di mana orang ramai berkumpul. Apabila tiada kemudahan tempat solat disediakan, maka ramailah di kalangan masyarakat yang tidak bersolat. Dalam memikirkan keadaan ini, mewujudkan surau bergerak ini merupakan satu usaha yang termampu diwujudkan oleh sebuah NGO kecil seperti NADWAH.

Nadwah Yang Memayungi

Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH) adalah sebuah badan kebajikan yang telah wujud pada awal tahun 80’an. Ia merupakan gabungan biro-biro agama Kelab Kakitangan Badan-Badan Kerajaan dan Swasta. NADWAH pada ketika itu, bernaung di bawah Pejabat Agama Islam Daerah.

Aktiviti dijalankan oleh NADWAH adalah berbentuk dakwah bil lisan seperti mengadakan atau menganjurkan forum atau ceramah agama, kursus pra perkahwinan, kursus pengurusan jenazah atau yang seumpamanya. Bagaimanapun dipenghujung 90’an, NADWAH tidak lagi terlibat dalam penganjuran aktiviti sebegini berikutan pihak Jawatankuasa Masjid atau Surau telah mampu mengendalikan sendiri program-program seumpama itu.

NADWAH kemudiannya telah beralih kepada aktiviti berbentuk dakwah bil hal dengan melaksanakan beberapa aktiviti kebajikan seperti menghulurkan bantuan kepada pelajar miskin untuk memulakan persekolahan di awal tahun, membantu fakir miskin dan ibu tunggal pada setiap kali menjelang Ramadhan dan sambutan hari raya. NADWAH akhirnya telah didaftarkan secara rasminya sebagai sebuah pertubuhan pada 10 November 1997.

Yayasan PHIM

Pada penghujung tahun 1999, NADWAH telah mengenal pasti keperluan untuk menubuhkan pusat hemodialisis sebagai satu keperluan yang mendesak bukan sahaja untuk umat Islam tetapi untuk golongan yang kurang berkemampuan. Bermula dari itu, dengan menggembleng usaha serta bantuan daripada masyarakat, NADWAH telah berjaya merealisasikan penubuhan Pusat Hemodialisis Islam Makmur (PHIM). Bagaimanapun, untuk tujuan mendapatkan kemudahan tolakan cukai, PHIM telah didaftarkan semula sebagai Yayasan PHIM.

Permata Camar

Tahun 2003, telah membuka mata NADWAH terhadap perlunya ada penempatan bagi anak-anak yatim serta miskin atau anak anak dari keluarga yang bermasalah. Pada ketika itu, tiada sebuah penempatan pun yang dikendalikan oleh NGO Islam di bandar Kuantan selain rumah perlidungan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat. Akhirnya pada 28 Februari 2004, NADWAH telah berjaya menubuhkan rumah Anak Yatim dan Miskin NADWAH Permata Camar (singkatannya Permata Camar).

Mobil Musolla

Keperihatan untuk menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuannya telah menghasilkan NADWAH mengorakkan langkah untuk menyediakan kemudahan surau bergerak pada penghujung tahun 2014. Berdasarkan pengalaman dalam menubuhkan Yayasan PHIM dan Permata CAMAR, maka penubuhan surau bergerak yang dinamakan Mobil Musolla telah dapat direalisasikan dalam masa yang singkat iaitu pada 7 Mac 2015.

Kronologi Penubuhan Mobil Musolla Nadwah

1. Idea menyediakan perkhidmatan surau bergerak ini ditimbulkan dalam mesyuarat jawatankuasa NADWAH pada penghujung tahun 2014. NADWAH mengambil idea ini sebagai satu lagi usaha dakwah Bil Hal yang merupakan ‘trade mark’ NADWAH.

2. Di dalam perincian cadangan mewujudkan surau bergerak ini, ialah sebagai sebuah NGO dan lebih-lebih lagi menyediakan tempat solat maka perkhidmatan yang hendak disediakan mestilah percuma melainkan disediakan tabung derma seumpama surau-surau tetap yang lain.

3. Pembiayaan mestilah terlebih dahulu diusahakan dikalangan ahli NADWAH sendiri sebelum keluar kepada masyarakat.

4. Dengan asas tersebut, NADWAH telah bersetuju meneruskan usaha menyediakan khidmat surau bergerak ini dengan dinamakan sebagai Mobil Musolla.

5. Sebuah Jawatankuasa khas telah dibentuk bagi menguruskan perlaksanaan Mobil Musolla. Timbalan Presiden Nadwah pada ketika itu, Dato’ Hj Halidan bin Md Daud telah dilantik mempengerusikan Jawatankuasa ini dengan dianggotai oleh beberapa orang ahli jawatankuasa.

6. Konsep surau bergerak ini adalah sebuah kenderaan iaitu lori 3 tan, diubah suai dengan boleh dikembangkan sebagai atap di kiri dan kanan. Disediakan platform untuk tapak solat, mempunyai tangki air untuk wuduk serta peralatan kecil yang lain seperti telekung dan kain, penghadang untuk ruang solat muslimat dan lain-lain.

7. Kaedah operasi juga telah digariskan dengan memberikan keutamaan perkhidmatan seperti berikut:
1) Pasar-pasar malam
2) Di stadium sewaktu perlawanan bola sepak
3) Majlis-majlis keramaian (ekspo, majlis perkahwinan dan lain-lain)

8. Jawatan kuasa Mobil Musolla telah mengenal pasti kerperluan perbelanjaan mewjudkan perkhidmatan ini yang terdiri daripada kos berikut:
1) Menyediakan kenderaan serta ubahsuai
2) Kos operasi terutamanya elaun atau gaji pengendali Mobil Musolla
3) Kos penyelenggaraan berkala

9. Disember 2014, kunjungan telah dibuat ke Telaga Biru Sdn. Bhd. Untuk bertemu Pengarah Urusan, Datuk Dr. Hj Zahazan bin Mohamed, bagi membentangkan cadangan penajaan kos pembelian dan pengubahsuaian lori 3 tan untuk dijadikan Mobil Musolla tersebut. Pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk membiayai keseluruhan kos tersebut.

10. Januari 2015, ubahsuai kenderaan telah dimulakan. Ubahsuai dilakukan oleh Imarah Auto Sdn Bhd. yang telah siap pada bulan Februari 2015.

11. Mobil Musollah telah memulakan operasi di perkarangan Stadium Darul Makmur Kuantan pada 7hb. Mac 2015. Pelancaran Mobil Musolla telah disempurnakan oleh Dato’ Hj Zulkifli bin Hj Yaacob, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuantan (ketika itu) di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

12. Khidmat Mobil Musolla Nadwah turut mendapat permintaan daripada beberapa agensi dan organisasi dari luar negeri Pahang. Antara program yang sertai adalah KL Marathon, Twincity Marathon, Ayuh Sihat Johor, Malaysia Woman Marathon dan Shah Alam Equestrian & Endurance Open Day.

13. Berikutan keperluan yang bertambah, maka Mobil Musolla telah menambah sebuah unit sokongan dengan menggunakan sebuah lori kecil pada tahun 2016. Kenderaan ini tidak dapat menyediakan kemudahan yang lengkap, namun memadati untuk memberikan khidmat untuk kawasan di sekitar bandar Kuantan sahaja

Matlamat Penubuhan Mobil Musolla

  1. Menyediakan kemudahan tempat solat kepada para peniaga dan pengunjung pasar malam atau mana-mana tempat awam.
  2. Perkhidmatan dikendalikan oleh kakitangan tetap atau sukarelewan NADWAH.   Perkhidmatan ini disediakan secara percuma.
  3. NADWAH berharap dengan adanya Mobil Musolla ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat akan peri pentingnya menunaikan solat tanpa mengira semasa melakukan apa-apa aktiviti pun dan di mana pun berada.

Ke Mana Hala Tuju Mobil Musolla

1. Walaupun khidmat seumpama Mobil Musolla ini bukanlah yang pertama di dunia, tetapi ianya ingin membawa satu mesej yang sangat penting khususnya kepada umat Islam tempatan bahawa apa yang dimaksudkan keutamaan mendirikan solat itu ialah mesti ditunaikan walau dalam keadaan apa sekalipun. Sama ada semasa kita dalam berusuniaga, beraktiviti dan sebagainya, solat mesti didirikan dengan sempurna dalam waktunya.

2. Kepada pihak berkuasa atau berkemampuan, menyediakan kemudahan tempat solat ini haruslah diutamakan, kerana jika umat Islam tidak meninggalkan ibadah solat, bukan sahaja manfaatnya kepada individu berkenaan, malah limpahan keberkatannya mudah-mudahan kepada semua pihak yang terlibat.

3. Mobil Musolla bersedia untuk mengembangkan sayapnya ka daerah yang lain. Atau setidaknya, idea dan pengalaman ini boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja, di mana jua.

"Mudah-mudahan mendapat keredhaan Allah jua"

Copy link
Powered by Social Snap